Kluster PKMS perkukuhkan ekosistem perindustrian

BINTULU: Kerajaan Sarawak akan mempercepat pembangunan Bandar Samalaju melalui penyediaan kemudahan kediaman, pendidikan, kesihatan, rekreasi serta utiliti bagi menyokong pertumbuhan pesat kawasan perindustrian di situ.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan elektrik dan melaksanakan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 200 juta liter sehari (MLD), selain memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur yang dapat meningkatkan kesejahteraan penduduk serta pekerja di kawasan itu.

“Kita juga merancang membangunkan Bandar Samalaju. Ia melibatkan kemudahan kediaman, pendidikan, sukan dan rekreasi, selain kita memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi keutamaan kepada pembinaan hospital di Samalaju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Samalaju SME Cluster di Samalaju, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.

Menurut Awang Tengah, pembangunan bandar itu penting memandangkan Samalaju yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari bandar ini berkembang sebagai hab perindustrian bertaraf antarabangsa dengan kehadiran pelbagai syarikat multinasional.

Dalam pada itu katanya, pembangunan Samalaju SME Cluster akan melengkapkan ekosistem industri sedia ada dengan menyediakan ruang kepada lebih ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menawarkan produk serta perkhidmatan bernilai tambah kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di Samalaju.

Katanya, pembangunan itu melibatkan 10 fasa di kawasan seluas 96.72 hektar dengan anggaran kos RM223 juta, manakala Fasa 1 dan Fasa 2 yang telah siap dibangunkan membabitkan kos RM25.8 juta serta menyediakan 21 lot industri.