GEDONG: Projek pembinaan jalan yang menghubungkan Gedong dengan Ulu Simunjan menerusi Semalatong dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan menyeluruh kerajaan bagi kedua-dua kawasan berkenaan.
“Dahulu, Ulu Simunjan agak jauh kerana jalan raya, hari ini kita membina laluan baharu yang diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi menerusi Semalatong seterusnya ke Gedong.
“Ia akan merapatkan Gedong dengan Simunjan, termasuk Ulu Simunjan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ngiling Bidai Sambutan Hari Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya, di sini malam tadi.
Tambahnya, kerajaan turut menaik taraf Jalan Munggu Kopi yang menghubungkan Serian ke Gedong sebelum diteruskan ke Samarahan yang merupakan projek jalan raya berkembar menghubungkan Samarahan, Serian dan Samarahan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata, apabila keseluruhan rangkaian jalan itu siap, laluan dari Munggu Kopi ke Gedong akan disambungkan ke Rembus di Samarahan, Asajaya dan Sadong Jaya sebelum menghubungkan Kuching menerusi jambatan baharu di Sejingkat.
Ujarnya, jaringan jalan tersebut seterusnya akan menghubungkan Sebuyau, Jambatan Batang Lupar, Lingga di Sri Aman dan Betong, sekali gus memendekkan masa perjalanan serta membolehkan perhubungan jalan raya antara kawasan selatan dan pertengahan Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Premier menjelaskan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang dihasilkan berasaskan alga di Gedong berpotensi digunakan oleh syarikat penerbangan AirBorneo pada masa hadapan.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan Irwan Bahari Bujang, ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain.
