Projek tangki aras tinggi bakal dibina, mampu selesai bekalan air Samarindah

KOTA SAMARAHAN : Penantian lebih 20,000 penduduk Samarindah untuk menikmati bekalan air lebih stabil bakal berakhir apabila siapnya projek pembinaan tangki aras tinggi nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, tangki itu dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap isu gangguan bekalan air yang berlarutan di kawasan perumahan terbesar di Sarawak itu.

Jelas beliau, Samarindah yang mempunyai lebih 5,000 rumah berdepan pelbagai cabaran berkaitan bekalan air berikutan pertambahan penduduk yang semakin pesat.

“Sebelum ini penduduk bukan sahaja berdepan masalah kekurangan bekalan air,malah turut mengalami banjir akibat sistem perparitan yang tidak mencukupi.

“Namun, isu tersebut berjaya ditangani melalui pelaksanaan projek saliran oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pecah tanah tapak bina kawasan tangki aras tinggi Samarindah bahagian Samarahan di sini, hari ini.

Tambahnya, dengan pembinaan tangki aras tinggi tersebut ia dapat menyelesaikan masalah tekanan dan bekalan air.

Ia sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk serta memastikan kemudahan asas seperti sekolah dan klinik kesihatan beroperasi dengan lebih lancar, jelasnya.

Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Sarawak Water serta semua agensi yang terlibat dalam merealisasikan projek tersebut.

Beliau turut berharap projek itu dapat disiapkan mengikut jadual memandangkan keperluannya amat mendesak bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan Samarindah.