Dasar, inisiatif dilaksana persediaan hadapi status negeri tua menjelang 2028

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda penuaan aktif sebagai persediaan menghadapi status negeri tua menjelang 2028, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, ini menerusi pelaksanaan pelbagai dasar, inisiatif dan perkhidmatan yang menumpukan kepada kesejahteraan, kesihatan serta kualiti hidup warga emas.

Beliau berkata, pendekatan tersebut bertujuan memastikan warga emas terus menjalani kehidupan secara sihat, aktif, produktif dan bermaruah, selaras dengan perubahan struktur demografi negeri.

“Sarawak akan menjadi negeri tua pada tahun 2028 dan Brunei Darussalam juga menuju ke arah yang sama. Sebab itu, kunjungan ini memberi peluang kepada kita berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam membuat persediaan menghadapi perubahan demografi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat delegasi Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei Muara di sini hari ini.

Beliau berkata, Sarawak dan Brunei kini berdepan cabaran demografi yang hampir sama apabila kedua-duanya menuju ke arah masyarakat menua, sekali gus memerlukan perancangan awal bagi memastikan sistem sokongan kepada warga emas terus diperkasakan.

Kementeriannya turut berkongsi pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang dirangka bagi memperkasakan kesejahteraan warga emas, termasuk penyediaan program sokongan komuniti dan perkhidmatan kebajikan yang lebih menyeluruh.

“Kita mahu warga emas menikmati kehidupan yang sihat, terus aktif, produktif dan hidup dengan penuh bermaruah serta mempunyai kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Sarawak dan Brunei akan terus memperkukuh kerjasama dalam pembangunan warga emas menerusi perkongsian amalan terbaik serta cadangan mewujudkan kerjasama rasmi antara institusi warga emas di kedua-dua wilayah.

Ujar Fatimah, hubungan erat yang sekian lama terjalin antara Sarawak dan Brunei perlu terus diperkasakan melalui kerjasama strategik yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada warga emas.

“Kunjungan seperti ini amat kita alu-alukan kerana ia mengeratkan silaturahim dan membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pengalaman serta amalan terbaik demi kesejahteraan warga emas,” katanya.

Turut hadir Konsul Agung, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Kuching, Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Gani, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Nur Alina Abdullah, Pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei Muara Negara Brunei Darussalam Mohd Yussof Mohd Salleh, Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial KPWK Sarawak Riziandy Nawawi serta tetamu lain.