KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak sedang mengenal pasti beberapa lokasi baharu untuk pembinaan loji rawatan air tambahan termasuk di Sebuyau dan Muara Tuang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, dengan pelaksanaan projek itu secara berterusan, bekalan air di negeri ini akan menjadi lebih stabil dan mencukupi menjelang tahun 2030.
Projek-projek yang sedang dilaksanakan diibaratkan ‘buah yang sedang ditunggu’ dan apabila siap kelak, manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat, katanya pada upacara pecah tanah tangki aras tinggi Samarindah bahagian Samarahan di sini, hari ini.
Projek tangki aras tinggi itu melibatkan dua lokasi iaitu di Samarindah dan kawasan berhampiran dengan kos keseluruhan melebihi RM30 juta.
Julaihi berkata, keutamaan kementerian adalah memastikan bekalan air di kawasan Samarindah dapat dipenuhi dengan sempurna seperti yang diharapkan oleh lebih 5,000 rumah membabitkan lebih 20,000 penduduk.
Bekalan air bagi kawasan Samarindah, katanya, diperoleh daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang, yang merupakan loji utama bagi bahagian Kuching dan Samarahan.
Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf loji tersebut sedang dijalankan untuk meningkatkan kapasiti bekalan daripada 868 juta liter sehari sekarang kepada 968 juta liter sehari.
Loji tersebut turut membekal air ke Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan Simunjan, termasuk institusi seperti UNIMAS dan UiTM serta kawasan perumahan sekitarnya, katanya.
Beliau menambah, ini menunjukkan permintaan bekalan air yang sangat tinggi.
Menurut Julaihi, selain memenuhi keperluan domestik, kerajaan juga mengambil kira keperluan industri, termasuk pusat data yang memerlukan bekalan air dan elektrik yang tinggi.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang membangunkan sistem grid bekalan air di seluruh Sarawak, khususnya di wilayah selatan yang melibatkan Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong yang akan menghubungkan semua loji rawatan air melalui rangkaian paip bagi memastikan bekalan air lebih stabil dan menyeluruh.
Beliau berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan loji baharu di Lundu dengan kapasiti 20 juta liter sehari, serta projek-projek lain di Matang, Slabi (Serian), dan pemasangan paip di bawah Sistem Bekalan Air Wilayah Serian yang menghubungkan Serian ke Simunjan dan Gedong.
Kerajaan, tambahnya, juga melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip lama sepanjang 2,740 kilometer (km) dengan peruntukan RM1.1 bilion bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak terhasil.
Kesemua inisiatif ini, kata Julaihi, dilaksanakan di bawah Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak, dengan jumlah peruntukan hampir RM5.9 bilion daripada Kerajaan Sarawak.
