SRI AMAN: Kerajaan Sarawak tidak pernah memandang remeh isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll berkata, kerjasama penuntut tanah adalah kunci utama dalam mempercepatkan dan menjayakan proses penyukatan pengukuran tanah NCR.
“Ini adalah bukti nyata, bukan sekadar janji kosong kerajaan kerana telah mengkaji kaedah bagi mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR,” katanya pada majlis penyerahan Warta Rizab Komuniti Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak Bahagian Sri Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas proses penyukatan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak selesai, pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan tanah, sempadan tanahnya yang jelas dan tanahnya tidak akan diceroboh.
Kedua-dua peringkat itu, katanya, akan berjaya sekiranya adanya kerjasama daripada penuntut tanah NCR itu sendiri dan proses pengukuran hanya akan berjalan lancar jka pemilik tanah memenuhi syaratnya.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan Warta Rizab Komuniti Bumiputera bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin, DUN Bukit Begunan dan DUN Simanggang dan Surat Hak Milik Tanah bagi DUN Lingga, DUN Begunan dan DUN Simanggang.
Awang Tengah berkata, dari tahun 2010 hingga 31 Mei 2026, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 1,238,159 hektar (3,059 juta ekar) di seluruh bahagian negeri ini.
Daripada jumlah tersebut, katanya, seluas 966,938 hektar (2.3 juta ekar) (di bawah Seksyen 6) telah pun diwartakan termasuk di Bahagian Sri Aman, manakala 111,166 lot individu berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 133,140 hektar.
Sebanyak 37,221 lot dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang berkeluasan 52,667 hektar, katanya.
Tanggapan bahawa Kerajaan Sarawak merampas tanah melalui pengukuran perimeter dan pewartaan Seksyen 6 KTS baru-baru ini adalah tidak benar dan perlu diperbetulkan, tegas beliau.
Sebaliknya, tambah Awang Tengah, langkah ini dilaksanakan bagi memastikan tanah yang diiktiraf dapat dilindungi dan diurus secara teratur demi kepentingan pemilik tanah NCR dan generasi akan datang.
