MSS hargai peranan media sebagai rakan strategik

KUCHING: Majlis Seni Sarawak (MSS) menzahirkan penghargaan terhadap peranan media sebagai rakan strategik.


Ketua Pegawai Eksekutif MSS Dr. Suffian Jalet berkata, ini kerana media turut memainkan fungsi penting dalam memperkukuh pembangunan seni, budaya dan industri kreatif di Sarawak.


Menurutnya, ini sejajar dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai hab seni bertaraf antarabangsa.


“Media bukan lagi sekadar saluran penyampaian maklumat.


“Media merupakan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat, meningkatkan kesedaran kesedaran awam dan mempromosikan nilai seni, budaya serta industri kreatif Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Seni Sarawak bersama media di Hotel Theatre di sini, hari ini.


Majlis tersebut dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak , Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.


Dr Suffian menjelaskan, dalam landskap komunikasi digital yang berkembang pesat, kerjasama erat antara MSS dan organisasi media amat penting.


Jelasnya lagi, ia bagi memastikan setiap inisiatif, program serta pencapaian sektor seni dan budaya dapat disampaikan secara meluas, tepat dan berkesan kepada masyarakat.


Pada majlis berkenaan turut diadakan pelancaran buku kalendar MSS 2026 dan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi media.