KUCHING: Majlis Seni Sarawak (MSS) berperanan penting sebagai agen penyatuan dan perpaduan budaya bagi 34 suku kaum di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata suku kaum terbabit memerlukan pendekatan inklusif bagi memastikan setiap komuniti merasakan warisan mereka dihargai dan dipelihara.
Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan jurang sosial serta rasa terpinggir dalam kalangan masyarakat tertentu.
“Dalam konteks ini, Majlis Seni Sarawak memainkan peranan penting sebagai agen penyatu yang memperkukuhkan perpaduan melalui kepelbagaian budaya. Kepelbagaian ini harus dilihat sebagai kekuatan, bukan punca perpecahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Seni Sarawak Bersama Media, di sini, hari ini.
Abdul Karim kemudian melancarkan kalendar MSS 2026 dan menyampaikan sijil penghargaan kepada organisasi media.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Dr. Suffian Jalet.
Abdul Karim berkata, MSS turut memainkan peranan penting bagi usaha pendokumentasian dan penyelidikan warisan termasuk seni bina tradisional, pakaian, adat resam dan seni persembahan.
Katanya, penyelidikan yang teliti penting bagi memastikan keaslian sesuatu warisan tidak terhakis akibat perubahan atau pengaruh luar.
“Elemen keaslian mesti dikekalkan. Walaupun inovasi dan gabungan budaya dibenarkan, identiti asal setiap kaum perlu dipelihara agar tidak hilang,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut memberi komitmen menyediakan infrastruktur bagi menyokong perkembangan seni dan budaya termasuk perancangan penubuhan pusat pentadbiran khusus untuk MSS serta pembangunan Performing Arts Centre.
“Selain itu, usaha mempromosikan seni dan budaya Sarawak di peringkat antarabangsa terus diperkasa melalui kerjasama dengan kedutaan Malaysia di luar negara,” katanya.
Menurutnya, kumpulan seni dari Sarawak dihantar ke pelbagai negara seperti Jepun, Korea, Sepanyol dan Perancis bagi pamerkan keunikan budaya tempatan yang meningkatkan pengiktirafan global dan membuka peluang penggiat seni tempatan berkembang peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa semua pihak, termasuk media, memainkan peranan penting dalam menyokong usaha ini.
