KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan Jalan Utama Kedua Sarawak (SSTR) Pakej A1-B merupakan satu lagi pencapaian penting kerana menjadi jalan berkembar empat lorong bertingkat pertama yang dibina di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, SSTR Pakej A1-B itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kesalinghubungan, mobiliti dan pertumbuhan sosioekonomi negeri.
“Projek itu melibatkan pembinaan jalan baharu berkembar empat lorong sepanjang 13.724 kilometer (km) mengikut piawaian JKR R5 dari CH8+150 ke Batang Sadong, termasuk 11.8 km jajaran jalan bertingkat,” katanya kepada media semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek bagi meninjau kemajuan pembinaan serta menerima taklimat mengenai perkembangan semasa pelaksanaannya.
Ketibaan Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan di tapak projek disambut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris bersama barisan pengurusan tertinggi JKR Sarawak dan pasukan pelaksana projek.
Sehingga Jun tahun ini, projek berkenaan mencapai kemajuan fizikal 2.68 peratus dan dijadual siap pada Ogos 2030.
Uggah berkata, projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur bertaraf tinggi yang mampu menyokong pembangunan jangka panjang negeri.
Menurutnya, kejayaan projek berimpak tinggi itu turut mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak, JKR Sarawak dan kontraktor dalam memastikan pelaksanaan berjalan mengikut perancangan.
Selain SSTR Pakej A1-B, Uggah turut diberi taklimat mengenai projek jalan raya strategik di Bahagian Samarahan dan Gedong, termasuk projek Serian-Gedong-Samarahan Dual Carriageway Highway yang sedang menunjukkan kemajuan.
Keseluruhan rangkaian projek itu dijangka meningkatkan kebolehcapaian, mengurangkan masa perjalanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah secara lebih seimbang.
