KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa muktamadkan secepat mungkin segala proses penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata ini kerana cadangan penambahan kerusi ini bukan perkara baharu.
“Ia melalui proses perbincangan, perbahasan dan kelulusan di peringkat DUN Sarawak mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan pada awal bulan Julai tahun lalu,”katanya dalam kenyataan, semalam.
Justeru, katanya setiap proses seterusnya di peringkat persekutuan dan SPR perlu diberi keutamaan sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kelewatan memandangkan penggal DUN Sarawak kini dalam tahun terakhir sebelum terbubar secara automatik.
Menurutnya, sekiranya penambahan kerusi ini belum dimuktamadkan, maka penambahan kerusi tidak dapat dilaksanakan pada pilihan raya Sarawak terdekat, sebaliknya harus menunggu pilihan raya seterusnya lima tahun lagi.
“Harus diingatkan Kerajaan Persekutuan telah menerima mandat dari DUN Sarawak untuk penambahan ini, maka wajar ada keazaman politik dari pimpinan tertinggi di Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan cadangan tersebut tanpa ada campur tangan atau kira-kira politik yang menjurus kepada kelewatan,” tambahnya.
Beliau berkata, selain itu Parlimen Malaysia juga memainkan peranan penting mengesahkan cadangan penambahan 17 kerusi DUN baharu ini yang akan memastikan kadar perwakilan rakyat lebih seimbang dan selaras dengan realiti semasa.
Katanya, ini terutamanya keluasan besar Sarawak, di samping jumlah pengundi yang semakin meningkat.
Selain itu, kepentingan memperkukuhkan sistem penyampaian dan pelaksanaan dasar kerajaan serta memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan lebih drastik.
“Saya berpandangan bahawa rakyat Sarawak di setiap pelosok negeri berhak untuk merasai dan menikmati pembangunan mampan yang akan dipermudahkan dengan pendekatan yang lebih berfokus melalui penambahan kerusi DUN ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan perhatian serius perkara ini dan memastikan semua urusan berkaitan diselesaikan segera demi kepentingan rakyat dan pembangunan berterusan Sarawak.
