Nisbah satu pertiga kerusi Parlimen masih perlu diperinci – Abdul Karim

KUCHING: Isu perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dilihat sebagai agenda nasional, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, perkara ini berkait rapat dengan prinsip keseimbangan kuasa yang wujud ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

“Persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak merupakan perkembangan positif.

“Namun, persoalan mengenai kadar satu pertiga masih perlu diperincikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pelancaran Festival Jazz Borneo 2026 di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Jelasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 September lalu mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa.

Akan tetapi, tegasnya mekanisme serta jumlah akhirnya masih perlu melalui perbincangan dan proses Perlembagaan.

“Prinsip satu pertiga itu ditegaskan sebagai penting.

“Ini bagi memastikan keseimbangan kuasa dalam Persekutuan khususnya berkaitan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Dewan Rakyat mempunyai 159 kerusi dengan Tanah Melayu diperuntukkan 104 kerusi, Sarawak 24, Sabah 16 dan Singapura 15.

Ini bermakna Sabah, Sarawak dan Singapura ujarnya, secara keseluruhan mempunyai 55 kerusi atau kira-kira 34.6 peratus.

Bagaimanapun, katanya, selepas Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kedudukan perwakilan berubah dan Sabah serta Sarawak tidak memperoleh kerusi Singapura untuk mengekalkan nisbah tersebut.

“Rekod Hansard Parlimen turut menyatakan 15 kerusi Singapura dimansuhkan dan tidak diagihkan semula kepada Sabah dan Sarawak.

“Namun, pemulihan prinsip satu pertiga bukan semata-mata soal menambah jumlah Ahli Parlimen, sebaliknya dilihat sebagai mekanisme semak dan imbang dalam melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan,” tegasnya.

Tambahnya, pendekatan itu selari dengan kenyataan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu hak serta kedudukan khas Sabah dan Sarawak di bawah MA63 diangkat sebagai agenda nasional. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI