KUCHING: Usaha memperkukuhkan penyatuan Melayu perlu dilaksanakan secara seimbang dan inklusif tanpa menyebabkan kaum lain berasa tersisih atau terancam.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kestabilan Malaysia tidak boleh dibina atas kekuatan sesuatu kaum semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan rasa saling menghormati dan keyakinan antara semua kaum, agama serta wilayah.
Menurutnya, masyarakat Melayu boleh diperkukuh tanpa melemahkan komuniti lain, manakala setiap kaum boleh mempertahankan identiti masing-masing tanpa merendahkan identiti orang lain.
“Kita tidak mahu melihat masyarakat Melayu berpecah. Pada masa sama, kita juga tidak mahu usaha untuk menyatukan mana-mana kaum akhirnya menyebabkan kaum lain berasa tersisih, terancam atau tidak lagi mempunyai tempat sama dalam negara ini.
“Kedua-duanya boleh berjalan seiring. Kita boleh memperkukuhkan sesuatu komuniti tanpa melemahkan komuniti yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Nanta berkata demikian ketika mengulas pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung penyatuan Melayu serta keperluan mengamalkan politik secara rasional dan inklusif.
Mohamed Khaled sebelum ini menegaskan kepentingan penyatuan Melayu dalam memperkukuhkan kedudukan politik masyarakat itu, termasuk mengekalkan keyakinan rakan politik di Sabah dan Sarawak.
Mohamad pula mengingatkan supaya tindakan politik tidak menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat bukan Melayu serta masyarakat di Sabah dan Sarawak, selain menekankan pendekatan politik yang lebih inklusif.
Nanta berkata, pandangan Ketua Penerangan Parti PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menekankan kestabilan negara perlu merangkumi masyarakat pelbagai kaum dan agama turut mencerminkan pengalaman politik Sarawak.
“Pendekatan itu sudah menjadi sebahagian daripada acuan politik negeri yang menekankan toleransi, perkongsian kuasa dan saling menghormati,” ujarnya.
Menurutnya, Parti PBB memenangi kesemua 47 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) 2021, namun kekuatan itu tidak diterjemahkan dengan memerintah bersendirian.
Sebaliknya, katanya, Parti PBB terus bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kekuatan tidak semestinya diterjemahkan sebagai penguasaan. Kekuatan juga boleh diterjemahkan melalui perkongsian, keyakinan dan keterangkuman,” ujarnya lagi.
Nanta turut mengaitkan prinsip berkenaan dengan pesanan mendiang datuknya, Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng, seorang daripada tokoh penting dalam pembentukan Malaysia.
Beliau mengingatkan kembali ungkapan terkenal Tun Jugah: “Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung,” yang membawa maksud janganlah Malaysia menjadi seperti tebu, manis pada pangkal tetapi tawar di penghujung.
Katanya, pesanan itu bukan hanya untuk Sarawak tetapi peringatan kepada seluruh negara supaya semangat, janji dan kepercayaan yang mendasari pembentukan Malaysia terus dipelihara.
“Selepas 63 tahun, saya berharap ‘tebu’ Malaysia bukan sahaja tidak menjadi tawar, tetapi akan kekal manis sampai ke penghujung — melalui keadilan, saling menghormati dan keyakinan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah serta antara semua kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga selari dengan penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai “wa’ad nasional” ketika Sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching baru-baru ini.
Dalam ucapan itu, Anwar menyifatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tanggungjawab nasional yang perlu difahami dan dilaksanakan bersama oleh seluruh Persekutuan, bukan dianggap sebagai urusan Sabah dan Sarawak semata-mata.
Nanta berkata, dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, persaingan geopolitik dan perubahan aturan perdagangan antarabangsa, kestabilan politik serta keharmonian kaum menjadi sebahagian daripada kekuatan strategik Malaysia.
Katanya, perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada demokrasi, tetapi ia tidak seharusnya membawa kepada politik kebencian yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.
“Orang Melayu tidak akan menjadi lebih kuat dengan membuat masyarakat lain berasa takut. Masyarakat bukan Melayu pula tidak seharusnya melihat setiap usaha memperkukuh masyarakat Melayu sebagai suatu ancaman.
“Sabah dan Sarawak juga tidak harus dilihat hanya melalui lensa angka politik, tetapi sebagai rakan pembentuk Malaysia dengan sejarah, hak dan sumbangan tersendiri.
“Kita boleh memperjuangkan hak masing-masing tanpa menafikan hak orang lain. Kita boleh berbeza dari segi politik tanpa merosakkan keharmonian sebuah negara yang telah dibina bersama selama 63 tahun,” kata beliau.
