Rakyat perlu fahami kesan Inisiatif Kerajaan Sarawak

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu memahami objektif setiap inisiatif kerajaan bagi membolehkan manfaatnya difahami dan disampaikan kepada masyarakat.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kesan limpahan daripada pelaksanaan inisiatif kerajaan dijangka dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.

“Walaupun mungkin tidak semua manfaat dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, saya yakin kesan limpahan daripada inisiatif kerajaan akan dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pencapaian Inisiatif Kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketua masyarakat turut mempunyai peranan sebagai wakil Sarawak dalam menyampaikan maklumat mengenai pembangunan, budaya dan kehidupan masyarakat negeri ini.

Katanya, peranan itu penting khususnya apabila ketua masyarakat menghadiri kursus atau seminar di Semenanjung bagi berkongsi maklumat yang tepat mengenai Sarawak.

Fazzrudin berkata, tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak pada ketua masyarakat sebaliknya turut melibatkan pelajar, pekerja sektor swasta dan penjawat awam.

“Setiap rakyat Sarawak mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat tepat mengenai Sarawak supaya persepsi dan maklumat yang tidak tepat dapat diuruskan dengan baik,” tambahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM7 juta bagi kerja-kerja berkaitan Stadium Negeri untuk memenuhi keperluan penyertaan Kuching City FC dalam kejohanan AFC dan Shopee.

Bagaimanapun, hanya sebahagian daripada peruntukan itu akan dilaksanakan pada masa ini bagi memastikan kerja berkaitan stadium dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Fazzrudin berkata, keputusan mengenai penjualan tiket akan dibuat dalam masa terdekat dengan tiket perlu mempunyai nombor tempat duduk mengikut keperluan AFC dan Shopee.

Beliau turut memaklumkan satu perlawanan persahabatan akan diadakan sebelum perlawanan sebenar menentang Tampines Rovers pada 7 Oktober depan manakala dua pasukan dari Semenanjung dan negara jiran sedang dalam rundingan untuk menyertai perlawanan tersebut. – ALYA MEDINA/ JIWA BAKTI