KUCHING: Dengan prestasi cemerlang dan tadbir urus yang baik, kebanyakan syarikat milik Kerajaan Sarawak (SOE) diramalkan berjaya mengurangkan keperluan geran mengurus menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menjelang tahun 2030 juga lebih 60 peratus daripada SOE terbabit dijangka dapat berdikari dari segi kewangan.
“Perjalanan transformasi itu tidak terhenti dengan kumpulan 36 syarikat,” katanya pada majlis pelancaran Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Sarawak (SOE) Sarawak: Ikrar ke Arah Tadbir Urus Baik, Prestasi Tinggi dan Penciptaan Nilai ( Fasa 2) di sini hari ini.
Abang Johari menjelaskan, dalam fasa pertama, dengan penilaian secara jujur, sasaran jelas dan kesanggupan menempuhi cabaran cara bekerja sedia ada, SOE terbabit berpotensi menunjukkan pencapaian lebih baik.
Dalam fasa kedua, katanya, Kerajaan Sarawak akan mengangkat 32 lagi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan merangkumi 17 sektor yang setiap satunya dengan corak perniagaan yang berlainan.
Tetapi semuanya mempunyai tanggungjawab bersama iaitu mewujudkan nilai dan menjana lebih banyak pendapatan untuk Sarawak dan rakyat, tegas beliau.
Corak tadbir urus dan pengurusan dalam peringkat fasa pertama dengan fasa kedua, katanya adalah berlainan dan menambah, fasa pertama memahami kedudukan kewangan, mengenal pasti jurang dan menilai keupayaan.
Bagi fasa kedua, katanya, SOE sendiri akan membangunkan strategi dan inisiatif masing-masing untuk menentukan hala tuju menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, pejabat Setiausaha Kewangan Negeri akan menyediakan kerangka kerja dan pemantauan, perundingan.
Ia akan disediakan oleh pakar, tetapi transformasinya hendaklah dilakukan oleh SOE masing-masing.
Berdasarkan unjuran yang diperoleh semasa membuat penilaian, beliau berkata, inisiatif dalam fasa kedua boleh menjana pendapatan tambahan RM9.82 bilion menjelang 2030.
Katanya, RM1.6 bilion dalam tambahan keuntungan selepas cukai dan kira-kira RM1.27 bilion dalam bentuk dividen antara tahun 2027 dan 2030.
Transformasi itu tidak harus hanya bergantung kepada beberapa entiti besar seperti Sarawak Energy Bhd (SEB) dan PETROS bagi melaksanakannya, katanya.
Bagi SOE yang bersifat komersial, katanya, jangkaannya adalah berlainan kerana mereka perlu mengukuhkan pendapatan, meningkatkan produktiviti, mengurus kos, menggunakan aset semaksimunnya dan mengurangkan kebergantungan daripada sokongan kerajaan.
