KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak
(UNIMAS) menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 di Kampus UNIMAS, di sini bermula 21 hingga 22 September ini.
Menurut kenyataan UNIMAS, lebih 200 orang termasuk ahli akademik, penggiat sastera dan pelajar menghadiri seminar ini bertema “Mengimbangi Kecerdasan Buatan dengan Kecerdasan Semula Jadi dalam Sastera” yang diadakan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS).
Seminar kali ke-30 dan julung kalinya di Bumi Kenyalang itu merupakan kegiatan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) yang menghimpunkan pakar sastera Melayu dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Dr Jeniri Amir yang turut menyampaikan ucap utama bertajuk “Landskap Kesusasteraan Asia Tenggara: Realiti Empirikal dan Suara Serantau”.
Beliau menegaskan kecerdasan buatan mampu meniru gaya penyair dan menghasilkan metafora yang memukau, namun tetap tidak memiliki pengalaman, sejarah, perasaan dan renungan jiwa seorang pengarang.
Turut hadir Ketua Pengarah DBP merangkap Pengerusi Mastera Malaysia, Datuk Dr. Hazami Jahari dan Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.
