Klinik Kitak bawa jenama kesihatan Sarawak

KUCHING: Pertemuan ketika pandemik Covid-19 menjadi titik mula kepada sebuah persahabatan yang akhirnya berkembang menjadi usaha keusahawanan dalam bidang kesihatan.

Dr Muhammad Haziq Maslan Malik, 37, Dr Siti Hazirah Sapuan, 36, lebih dikenali Dr Zizi dan Dr Muhammad Suhaimi, 36, ketika itu bertugas dalam suasana penuh tekanan, berdepan keperluan rawatan dan saringan yang menuntut ketahanan fizikal serta mental.

Antara pengalaman yang mengikat mereka ialah ketika menjalankan saringan Covid-19 di Penjara Puncak Borneo, apabila jumlah penghuni dan kakitangan yang perlu disaring begitu ramai.

Daripada situ, mereka belajar bahawa kekuatan sebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada kemahiran individu, tetapi kepercayaan dan kesediaan untuk saling menyokong ketika berdepan keadaan sukar.

“Kami bertiga sebenarnya berkenalan ketika pandemik Covid-19.

“Bagi membentuk sebuah pasukan dalam perniagaan, kami percaya setiap individu perlu saling melengkapi.

“Kami mempunyai kelebihan masing-masing dan kami memerlukan satu sama lain,” kata Dr Haziq yang berasal dari Kuching.

Dari rakan sekerja ke rakan kongsi

Hubungan yang terbina ketika pandemik akhirnya menjadi asas kepada keputusan mereka untuk keluar daripada zon selesa dan memasuki dunia keusahawanan.

Namun, membina sebuah klinik sendiri bukan perjalanan yang mudah. Mereka perlu meninggalkan pekerjaan terdahulu, menyediakan modal dan berdepan tempoh awal operasi tanpa mengambil gaji seperti biasa.

Pada peringkat permulaan, mereka bukan hanya bertindak sebagai doktor dan pemilik klinik, malah turut mengurus kaunter, pesakit, kewangan serta kerja-kerja operasi termasuk pendawaian, paip dan mengecat.

Semua itu dilakukan bagi mengawal kos dan memastikan operasi klinik dapat berjalan dalam keadaan sumber terhad.

“Jika kami tidak mempunyai sistem sokongan tersebut, mungkin kami tidak akan membuka klinik.

“Kami bertiga saling menguatkan antara satu sama lain.

“Kadang-kadang apabila saya berasa kurang bersemangat, Dr Zizi dan Dr Suhaimi akan memberi semangat kepada saya,” katanya.

Modal besar diperlukan sebuah klinik

Di sebalik operasi sebuah klinik yang kelihatan sederhana, pelaburan diperlukan bukan kecil.

Menurut mereka, pembukaan sebuah cawangan klinik memerlukan modal sekitar RM500,000 dan ke atas, malah boleh mencecah kira-kira RM700,000 bergantung kepada keperluan dan skop operasi.

Selain menggunakan modal sendiri, mereka turut menerima pembiayaan mesin melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta geran bantuan usahawan daripada SME berjumlah RM250,000.

Angka itu bagaimanapun bukan sekadar nilai kewangan, sebaliknya menggambarkan keberanian tiga doktor tersebut mempertaruhkan masa, tenaga dan simpanan demi membina perniagaan sendiri.

Metrocity titik permulaan

Selepas kira-kira satu setengah tahun proses persediaan, Klinik Kitak Metrocity akhirnya dibuka dan menjadi tapak pertama membina pengalaman sebagai pengusaha klinik.

Kini, selepas kira-kira tiga tahun beroperasi, Klinik Kitak berkembang sehingga mempunyai 10 doktor yang bertugas di dua cawangan.

Lebih menarik, penerimaan terhadap perkhidmatan mereka tidak hanya datang daripada masyarakat sekitar Kuching, malah terdapat pesakit dari Bau, Samarahan, Bintulu dan Miri yang datang mendapatkan perkhidmatan tertentu.

Perkembangan itu menjadi antara petunjuk bahawa sebuah klinik yang bermula daripada usaha tiga doktor mampu membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

GalaCity membuka bab baharu

Selepas Metrocity, GalaCity dipilih sebagai lokasi cawangan kedua dengan matlamat mendekatkan perkhidmatan kepada lebih ramai masyarakat.

Keputusan itu tidak dibuat dalam tempoh singkat apabila mereka mengambil kira-kira satu setengah tahun untuk merancang dan merealisasikan pembukaan cawangan berkenaan.

“Aspirasi kami untuk Klinik Kitak adalah menjadikannya sebuah klinik yang dekat di hati masyarakat dan signifikan di Sarawak.

“Sebab itu kami membuka cawangan baharu untuk meluaskan liputan dan memudahkan pesakit,” kata Dr Haziq yang mendapat pendidikan perubatan di Krishna Institute of Medical Sciences University (KIMS), Mumbai, India.

Pakej pemeriksaan kesihatan menyeluruh

Selain perkhidmatan rawatan, Klinik Kitak Galacity turut menyediakan pelbagai pakej pemeriksaan kesihatan dan saringan darah dengan harga bermula RM65 bagi pakej Bronze, RM125 Silver, RM145 Gold, RM160 Platinum Lelaki dan RM180 Platinum Wanita.

Pakej berkenaan merangkumi pemeriksaan kiraan darah penuh, fungsi buah pinggang dan hati, paras gula serta kolesterol, tiroid, anemia, saringan hepatitis, sifilis dan HIV, selain beberapa ujian berkaitan risiko kanser.

Bagi lelaki, turut disediakan pakej hormon berharga RM252, RM287 dan RM316, yang merangkumi pemeriksaan testosteron, hormon reproduktif, tiroid, prolaktin dan kesihatan prostat termasuk penilaian berkaitan terapi penggantian testosteron (TRT).

Variasi pakej ini memberi pilihan kepada masyarakat untuk menjalani pemeriksaan berdasarkan keperluan kesihatan masing-masing serta mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan kesihatan mereka.

Beroperasi hingga tengah malam

Klinik Kitak GalaCity kini beroperasi setiap hari, Isnin hingga Ahad, dari 8 pagi hingga 12 tengah malam, tanpa ditutup untuk rehat tengah hari.

Klinik itu juga dibuka pada cuti umum, selain menawarkan perkhidmatan perubatan ke rumah, memberikan alternatif kepada pesakit yang memerlukan rawatan di kediaman.

Waktu operasi yang panjang itu mencerminkan pendekatan mereka untuk menyediakan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih fleksibel kepada masyarakat.

Bukan sekadar merawat

Bagi tiga doktor itu, peranan klinik tidak seharusnya terhad kepada merawat pesakit selepas mereka mengalami masalah kesihatan.

Sebab itu, perkhidmatan turut merangkumi pemeriksaan kesihatan, pengurusan berat badan, susulan antenatal dan pelbagai saringan sebagai sebahagian daripada pendekatan pencegahan.

“Bagi kami, pencegahan sangat penting.

“Sasaran kami untuk menggalakkan masyarakat datang menjalani pemeriksaan kesihatan supaya penyakit dapat dikesan lebih awal,” kata Dr Suhaimi yang mendapat pendidikan perubatan di IMS-MSU, Bangalore, India.

Tiga kepakaran satu haluan

Ketiga-tiga mereka pernah melalui pengalaman dalam sektor kerajaan, kecemasan, kesihatan awam, pengurusan berat badan dan pengurusan Covid-19.

Latar belakang tersebut memberi mereka perspektif berbeza dalam mengurus pesakit, membuat keputusan perniagaan dan menentukan hala tuju Klinik Kitak.

Membina jenama anak Sarawak

Pemilihan nama “Kitak” juga bukan secara kebetulan.

Nama tersebut membawa unsur bahasa tempatan dan dipilih bagi mewujudkan rasa dekat, mesra serta inklusif dengan masyarakat Sarawak.

Lebih daripada sekadar membuka cawangan, tiga doktor itu mahu membina sebuah jenama kesihatan tempatan yang mempunyai identiti Sarawak.

Impian mereka turut merangkumi usaha menjadikan Klinik Kitak sebagai sebahagian daripada ekosistem kesihatan negeri, termasuk potensi menyumbang kepada perkembangan pelancongan perubatan.

Bagi mereka, pembukaan GalaCity bukan noktah kepada perjalanan tersebut.

Sebaliknya, ia menjadi satu lagi langkah untuk merealisasikan cita-cita yang lebih besar dan membawa Klinik Kitak ke lebih banyak kawasan di Sarawak.

“Kami mahu Klinik Kitak menjadi satu jenama klinik yang signifikan di Sarawak dan menjadi contoh kepada klinik-klinik lain,” katanya.