RM119 juta selenggara jajaran LPB Sarawak

BINTULU: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengambil pendekatan turun padang secara berkala melihat keadaan jalan serta perkembangan kerja penyelenggaraan dan naik taraf.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pemantauan khusus ke atas Lebuh raya Pan Borneo (LPB) demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini.

“KKR memperuntukkan RM119 juta untuk menaik taraf jajaran sepanjang 17.1 kilometer (km) yang dikenali sebagai Red Line atau jajaran pendek di LPB Sarawak,” katanya selepas mengadakan meninjau tapak projek menaik taraf Jajaran Red Line di LPB di sini, hari ini.

Projek berkenaan, katanya, membabitkan kerja menaik taraf struktur turapan di sembilan lokasi meliputi Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew dan Tudan.

Jajaran berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan 136.7km laluan yang sebelum ini tidak dinaik taraf ke tahap yang sama seperti jajaran LPB yang telah siap, katanya.

“Keseluruhannya, jajaran Red Line sepanjang 136.7km ini dibahagikan kepada dua, iaitu jajaran pendek dan jajaran panjang bagi memudahkan kerja pelaksanaan dan pemantauan.

“Untuk jajaran pendek sepanjang 17.1km, peruntukan RM119 juta ditetapkan dan kerja-kerjanya dilaksanakan secara arahan kerja bagi mempercepatkan pelaksanaan,” katanya.

Alexander berkata, kontraktor yang dilantik diberi tempoh 16 bulan untuk menyiapkan kerja-kerja itu, namun pihaknya mahu projek itu dapat disiapkan lebih awal sekiranya mampu dilaksanakan.

“Pemantauan akan dibuat bersama JKR Sarawak manakala KKR akan terus memantau pelaksanaannya,” katanya.