KUCHING: Inovasi dalam perkhidmatan awam perlu diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat, kata Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan kerajaan benar-benar memberi hasil yang dapat dirasai masyarakat.
Katanya, rakyat tidak melihat proses dalaman sesebuah jabatan, sebaliknya menilai tempoh menunggu, ketepatan keputusan, kejelasan jawapan dan kualiti perkhidmatan yang diterima.
“Rakyat tidak melihat proses dan mereka melihat tempoh menunggu, jawapan, ketepatan keputusan, kejelasan jawapan dan cara mereka melihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 yang bertemakan ‘Berinovasi dengan Integriti, Melaksanakan dengan Impak’ di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad Abu Bakar mengingatkan warga Jabatan Tanah dan Survei (JTS) supaya menilai semula hasil setiap projek dan program yang dilaksanakan, termasuk sama ada ia benar-benar memberi kesan kepada rakyat.
Dalam konteks JTS, beliau berkata pengurusan tanah yang cekap, telus dan berintegriti perlu menyokong pelaksanaan projek strategik supaya manfaat pembangunan dapat disampaikan kepada rakyat.
Pada majlis itu, Mohamad Abu Bakar turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 233 penerima yang diwakili penerima daripada setiap gred, selain hadiah kepada pemenang Video Kempen Integriti yang dimenangi JTS Bahagian Kapit dan Sudut Integriti Terbaik oleh JTS Sibu.
