Pertingkatkan kawalan keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Kunjungan itu bagi membincangkan isu keselamatan, pertahanan dan kepentingan strategik Sarawak.

Kunjungan tersebut merupakan sesi perkenalan rasmi pertama Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Malek Razak Sulaiman selepas dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Dalam pertemuan hampir satu jam itu, Tun Pehin Sri menyentuh keperluan memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia, termasuk menangani lebih 80 laluan tidak sah yang berpotensi digunakan bagi kegiatan rentas sempadan.

Beliau turut menyarankan agar keselamatan perairan Sarawak, khususnya di Bintulu diberikan perhatian termasuk pertimbangan terhadap cadangan mewujudkan pangkalan tentera laut mengambil kira kepentingan strategik kawasan berkenaan.

Selain itu, kerjasama serantau dalam menangani jerebu rentas sempadan serta keperluan meningkatkan kesiapsiagaan, perkongsian maklumat dan penyelarasan antara agensi berkaitan turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, Tun Pehin Sri turut menekankan kepentingan meningkatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta penguasaan teknologi dan inovasi pertahanan bagi memperkukuh keupayaan negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran luar.

Pada kunjungan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan.

Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, isteri Panglima Angkatan Tentera, Puan Sri Datin Seri Siti Juana Md Ibrahim, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof bersama isteri, Noor Hamiza Suhami, Komander Muhammad Shahir Salleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Leftenan Kolonel Nasaruddin Khalid Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).