Sarawak harap Belanjawan 2027 laksanakan peruntukan RMK-13, MA63

KUCHING: Sarawak berharap Belanjawan 2027 yang dibentangkan nanti memberi perhatian kepada pelaksanaan perkara yang dibincang menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara berkenaan termasuk keperluan suntikan peruntukan kepada Sarawak.

“Harapan kita supaya perkara yang dibincangkan dalam RMK-13 dapat dilaksanakan, khususnya dari segi suntikan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Sarawak (SOE) Sarawak: Ikrar ke Arah Tadbir Urus Baik, Prestasi Tinggi dan Penciptaan Nilai ( Fasa 2), di sini, hari ini.

Katanya, Sarawak turut menantikan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri pada Oktober depan bagi melihat peruntukan yang akan disediakan untuk negeri.

“Kita tunggu dan lihat apa yang akan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri nanti,” tambahnya.

Pada masa sama, isu berkaitan pelaksanaan MA63 terus menjadi antara perkara yang diberi perhatian Sarawak dalam perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak bagaimanapun akan menunggu pengumuman rasmi Belanjawan 2027 sebelum membuat sebarang ketetapan berhubung peruntukan yang bakal diterima.