Remaja perlu kuasai bahasa ilmu, global

KUCHING: Golongan remaja perlu menguasai bahasa yang mampu membuka pintu kepada ilmu pengetahuan dan peluang di peringkat global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain itu terus memperkukuhkan penggunaan bahasa sendiri serta mengekalkan identiti budaya.

Bahasa Malaysia kekal penting sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Namun jelasnya, penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dapat memberikan akses lebih luas kepada ilmu pengetahuan, teknologi, perdagangan serta peluang antarabangsa.

“Ringkasnya, kita tidak perlu memilih antara bahasa dengan ilmu. Sebaliknya, kita mesti menguasai bahasa dengan baik supaya ilmu yang kita peroleh dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee pada majlis penutupan Pertandingan Forum Pelajar Kebangsaan 2026 di Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 di sini hari ini.

Abang Johari berkata kemajuan ekonomi dan usaha memelihara bahasa serta identiti tidak semestinya perlu mengorbankan antara satu sama lain.

Sambil mengambil Jepun sebagai contoh sebuah negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun tetap mengekalkan bahasa ibundanya, kata beliau.

Katanya, perkara itu amat relevan dengan Sarawak yang mempunyai kepelbagaian kumpulan etnik, bahasa dan dialek, yang seharusnya dilihat sebagai satu kekuatan dan bukannya halangan kepada perpaduan.

Sehubungan itu katanya, usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar sekolah menengah persendirian Cina melalui pertandingan seperti forum wajar digalakkan.