IRSDA: 534 daripada 638 projek berjaya disiapkan

KUCHING: Sebanyak 534 daripada keseluruhan 638 projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) siap dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaksanaan membabitkan 83.7 peratus pojek.

Sementara itu, 30 projek kini dalam pelaksanaan manakala 67 lagi di peringkat perancangan.

“Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek IRSDA, dengan RM1.269 bilion atau 84.32 peratus diperuntukkan kepada projek berkaitan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa IRSDA kali kedua bagi tahun 2026, di Hotel The Waterfront, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur) (MIPD), Datuk Ir. Aidel Lariwoo.

Jelas Abdul Karim, walaupun masih terdapat projek yang belum dilaksanakan, kebanyakan projek berskala besar telah dilaksanakan dengan baik.

“Kami amat berpuas hati dengan kadar pelaksanaan IRSDA yang berada di barisan hadapan,” katanya.

Tegasnya, projek berkenaan merangkumi sektor infrastruktur, pertanian dan sosioekonomi dengan penglibatan pelbagai agensi, termasuk JPS, JKR, MPKS dan Jabatan Pertanian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, fasa satu Projek Boulevard Samarahan bernilai kira-kira RM25 juta sedang dilaksanakan, manakala tender fasa dua bernilai sekitar RM70 juta dijangka dibuka MPKS tahun ini.

Projek itu katanya, dirancang sebagai kawasan riadah dan lokasi penganjuran acara berskala besar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Sementara itu, ujar beliau, bagi projek Tebingan Sungai Kampung Tambirat fasa satu bernilai lebih RM20 juta berdepan isu keruntuhan sebahagian struktur sebelum siap pada 2024 sehingga melibatkan proses perundangan.

“Fasa dua projek sepanjang kira-kira satu kilometer dengan anggaran kos melebihi RM100 juta pula telah mendapat persetujuan.

“Projek akan dilaksanakan dan kini menunggu proses tender atau pelantikan pihak pelaksana,” katanya. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI