SEBUYAU: Penduduk Kampung Sagu kini menikmati bekalan air menerusi projek menaik taraf saluran paip bernilai kira-kira RM1.7 juta.
Projek sepanjang 6.2 kilometer itu dibiayai Kerajaan Sarawak dan dilaksana menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
Mula dilaksanakan Mei 2025, projek berkenaan siap
Februari lalu, memberi manfaat kepada penduduk Kampung Sagu serta kawasan sekitarnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi merasmikan projek berkenaan sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Sagu.
Pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan liputan bekalan air serta meningkatkan keandalan sistem bekalan air di Daerah Sebuyau.
Dengan siapnya projek berkenaan, penduduk Kampung Sagu kini mendapat akses kepada sistem bekalan air yang lebih baik dan berterusan, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan komuniti.
