KUCHING: Sarawak memberi tumpuan kepada empat keutamaan dalam memperkukuhkan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) kerana ia merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sarawak.
Ini termasuk memastikan akses yang saksama tanpa mengira faktor geografi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata tiga keutamaan lain ialah mempersiapkan kanak-kanak menghadapi masa depan, memperkukuh identiti sambil membina keyakinan di peringkat global.
Selain itu, membangunkan sistem ECCE yang lebih bersepadu dan saling berkaitan.
“Saya percaya terdapat empat keutamaan penting yang perlu terus diberi perhatian oleh Sarawak, termasuk memastikan kesaksamaan tanpa mengira faktor geografi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak (SPIC) 2026 di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Awang Tengah berkata, keutamaan berkenaan penting dalam usaha membentuk generasi berkemahiran tinggi bagi menyokong aspirasi Sarawak menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Katanya, asas kepada kemahiran itu perlu dibentuk sejak usia awal menerusi hubungan yang kukuh dan selamat, interaksi bermakna, sifat ingin tahu, kreativiti serta keyakinan untuk meneroka dan belajar.
Katanya, usaha memperkukuhkan ECCE tidak boleh dipikul kerajaan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk keluarga, pendidik, komuniti, universiti, penyelidik, industri dan sektor swasta.
