KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bergema dengan kemeriahan Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Sarawak, malam tadi.
Edisi jubli perak anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) itu mencipta kelainan apabila Sarawak dipilih sebagai lokasi utama penganjuran acara berprestij berkenaan.
Bagi menyokong penganjuran AIM25, Kementerian Komunikasi memperuntukkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM950,000.
Malam kemuncak itu lebih meriah apabila dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Kehadiran Premier Sarawak mencerminkan sokongan negeri terhadap perkembangan industri muzik, selain memperkukuhkan peranan Sarawak sebagai destinasi penting bagi penganjuran acara seni dan kreatif bertaraf nasional.
Kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Lagu Borneo Terbaik kepada artis Iban Sarawak, Mawat menerusi lagu Dayang Bintang.
Pengiktirafan itu selari dengan pengenalan dua kategori baharu AIM25 iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik bagi mengetengahkan kepelbagaian karya muzik.
Menerusi kategori baharu itu, komposer Sarawak, Hairee Francis, tercalon menerusi lagu etnik Maya Hari Gawai yang dinyanyikan Baby Shima, manakala Julai Sherry turut tercalon menerusi lagu Nadai Dua Tiga.
Kemunculan wakil Sarawak turut diserikan dengan pengendalian acara gandingan Awal Ashaari, Scha Al-Yahya dan personaliti TVS, Sheera Abang Mansor.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencatat 14 pencalonan menerusi album Gema Bumantara, selain meraih kemenangan bagi kategori Lagu Terbaik, Vokal Wanita Terbaik dan Lagu Tradisional Terbaik.
Melengkapkan kemuncak AIM25, penyanyi ikonik negara, Ella, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada industri muzik tanah air.
Kehadiran para jemputan turut memeriahkan AIM25 itu. – AYLA MEDINA
