BETONG: Kerajaan Sarawak dimohon mempertimbangkan pewujudan jawatan Pemanca di Kabong bagi memperkukuh kepimpinan masyarakat serta penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, ketika ini Kabong masih belum mempunyai jawatan Pemanca berbanding daerah lain di Bahagian Betong.
Beliau berkata, seramai 663 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Betong memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat.
Menurutnya, peranan KMKK bukan sahaja mewakili masyarakat, malah meliputi aspek kebajikan, keselamatan, pengurusan bencana, adat, tanah, pembangunan infrastruktur serta penyampaian maklumat berkaitan dasar dan program kerajaan.
“KMKK bukan sekadar menjadi wakil masyarakat, tetapi memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, khususnya menyampaikan dasar, program dan inisiatif kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bahagian Betong yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Panglima Rentap, hari ini.
Razi berkata, berdasarkan rekod terkini, Bahagian Betong mempunyai 50 Ketua Masyarakat dan 613 Ketua Kaum, menjadikan keseluruhan 663 KMKK.
Daripada jumlah itu, tujuh merupakan Pemanca, dengan tiga masing-masing di Daerah Betong dan Saratok, manakala seorang lagi di Daerah Pusa.
“Bagaimanapun, Daerah Kabong masih belum mempunyai jawatan Pemanca.
“Sehubungan itu, saya memohon agar Kerajaan Sarawak mempertimbangkan pewujudan jawatan KMKK baharu di kawasan yang bersesuaian, termasuk jawatan Pemanca bagi daerah-daerah di Bahagian Betong,” katanya.
Beliau berkata, hubungan rapat KMKK dengan masyarakat penting bagi membolehkan isu, keperluan dan aspirasi rakyat dikenal pasti sebelum disampaikan kepada kerajaan untuk tindakan sewajarnya.
