BINTULU: Pengusaha bot penumpang harus mengutamakan keselamatan khususnya yang beroperasi di Sungai Kemena di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, dengan menjadikan pemakaian jaket keselamatan sebagai amalan wajib setiap kali berada di atas bot.
“Pengusaha dan pengguna bot juga perlu mematuhi had muatan yang ditetapkan, memastikan bot serta enjin sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Dewan Masyarakat Kampung Jepak di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyerahan 70 jaket keselamatan kepada 13 kampung di kawasan Jepak serta Persatuan Nelayan Kecil (PNK) Jepak.
Iskandar mahu amalan keselamatan hendaklah menjadi budaya mereka setiap masa dan bukan hanya ketika berlangsungnya program atau pemeriksaan.
Katanya, usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kebersihan sungai juga perlu diteruskan melalui kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan, pengusaha bot serta masyarakat setempat bagi memastikan Sungai Kemena terus kekal bersih, selamat dan terpelihara.
