DARO: Seramai 1,062 peserta berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu B2 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, peserta terbabit bukan sahaja terdiri daripada penduduk Daro, malah turut melibatkan peserta dari kawasan sekitar termasuk Matu dan Pulau Bruit.
Katanya, pelaksanaan program sejak Jun lalu itu mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, khususnya JPJ Cawangan Mukah, selain Pejabat Pusat Khidmat N.43 Daro, Pejabat Daerah Daro dan Akademi Memandu Setria Sdn Bhd.
“Program ini mendapat sambutan menggalakkan, terutama dalam kalangan golongan belia dan bagi saya, ini merupakan satu pencapaian yang sangat positif.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan penerima supaya tidak menyalahgunakan lesen ini dengan menyertai lumba haram, melakukan aksi berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu B2, hari ini.
Dr Safiee berkata, kemudahan mendapatkan lesen secara sah itu seharusnya dimanfaatkan untuk keperluan harian, termasuk berulang-alik ke tempat kerja, mencari sumber pendapatan dan membantu menguruskan keperluan keluarga.
Penerima katanya, perlu mengamalkan sikap berdisiplin dan berhemah ketika berada di jalan raya.
