DARO: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Daro meneruskan komitmen untuk membantu jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro yang juga Ketua Cawangan N43 Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, kesepaduan di semua peringkat parti penting bagi memastikan jentera sentiasa bersedia pada bila-bila masa.
“Setiap ahli perlu memahami pencapaian Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk dalam aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi baharu, pendidikan dan kebajikan supaya maklumat ldapat disalurkan kepada masyarakat.
“Semua ahli parti cawangan diingatkan agar terus memelihara perpaduan, memperkukuhkan semangat kebersamaan dan kekal bersatu bersama kepimpinan negeri dalam membawa agenda pembangunan serta memperjuangkan kepentingan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Santai Parti PBB N.43 Daro dan Jom Pamuk yang menghimpunkan ahli parti daripada pelbagai peringkat termasuk pergerakan Wanita, Pemuda serta golongan belia.
Menurutnya, program yang digerakkan Pergerakan Wanita Cawangan Daro dan berpusat di Ranting Kampung Tengah itu menjadi platform mengeratkan hubungan selain memperkukuhkan kesiapan organisasi di peringkat akar umbi.
“Penganjuran program ini juga selari dengan kesinambungan Konvensyen Parti PBB di peringkat zon, sekali gus memberi ruang kepada kepimpinan dan ahli memperkemas persediaan menghadapi PRN pada bila-bila masa,” katanya.
