KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) memohon spektrum tambahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengurangkan kesesakan rangkaian.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerjasama rapat antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi amat diperlukan selain menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN).
“Kerjasama rapat itu akan membolehkan pelanggan mendapat faedah perkhidmatan secara maksima di mana sahaja mereka berada,” katanya pada mesyuarat dengan pembekal perkhidmatan telekomunikasi di sini, semalam.
Transaksi online seperti stesen minyak dicadang dan digalak memasang talian tetap (contoh unifi) sebagai talian tetap dan talian mudah alih sebagai perkhidmatan sandaran supaya pelanggan mendapat faedah tanpa gangguan seperti subsidi kerajaan yang ada sekarang, katanya.
Di samping itu menurut Julaihi, penyelenggaraan yang lebih sistematik dan berkesan wajar disegerakan dengan memberi tumpuan kepada menara yang condong serta kabel dan talian yang berjuntai rendah ke permukaan bumi.
Pembersihan tumbuhan di menara, kabel dan talian juga perlu dilakukan segera, tambahnya.
Pada mesyuarat itu, beliau turut menggesa pihak berkaitan memperketatkan penguatkuasaan bagi mengelak kabel dan gentian optik terputus atau rosak akibat aktiviti kecurian.
MCMC katanya, dipertanggungjawabkan dengan tugas tersebut tetapi dengan kerjasama semua agensi telekomunikasi dan bajet terkumpul.
SMA katanya, sebagai regulator mempunyai tanggungjawab sendiri berdasarkan ordinan sedia ada.
Hadir sama pada mesyuarat itu ialah wakil MUT, MCMC, SMA, SDEC, SACOPA dan SAINS.
