KUCHING: Pembukaan Jambatan Sejingkat pada 5 Oktober ini dijangka memperkukuhkan kesalinghubungan antara Kuching dan Samarahan, selain menyediakan laluan alternatif yang lebih efisien kepada pengguna jalan raya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi kenyataan media hari ini memberitahu, jambatan berkenaan akan dibuka kepada pengguna mulai jam 10 pagi pada Isnin.
Jambatan Sejingkat yang merupakan sebahagian daripada rangkaian jalan alternatif Kuching–Samarahan mempunyai panjang keseluruhan kira-kira 1,281.2 meter (m) dan dibina mengikut piawaian JKR R5.
Struktur utama jambatan itu menampilkan reka bentuk ‘cable stayed’ yang merentasi Sungai Sarawak, sekali gus menjadi antara mercu tanda kejuruteraan baharu di Sarawak.
Menurut JKR Sarawak, pembukaan jambatan itu dijangka meningkatkan kelancaran pergerakan trafik serta memperkukuhkan akses antara Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan sekitarnya.
Infrastruktur ini juga akan menyokong pembangunan sosioekonomi melalui peningkatan mobiliti penduduk, pergerakan barangan serta akses kepada kawasan pembangunan dan perindustrian.
Dalam pada itu, JKR Sarawak menggesa pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda, had laju dan arahan keselamatan, terutama sepanjang tempoh awal pembukaan jambatan.
Pengguna juga diminta memandu secara berhemah dan memberikan kerjasama bagi memastikan pergerakan trafik berlangsung dengan selamat serta lancar.
Pembukaan Jambatan Sejingkat mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak menyediakan infrastruktur berkualiti bagi meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pembangunan negeri dalam jangka panjang.
