TEBEDU: Projek naik taraf Jalan Link Kampung Semeru hingga Kampung Kuhom memberi keselesaan kepada penduduk luar bandar khususnya kawasan Tebedu.
Jalan sepanjang 15.45 kilometer (km) itu membabitkan kos RM95 juta itu dijangka siap selama 24 bulan iaitu Mei 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, berkata projek berkenaan merupakan usaha untuk meningkatkan jaringan perhubungan serta akses jalan raya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Link Kampung Semeru–Kampung Kuhom, Tebedu, di Kampung Semeru, Jalan Link Padawan–Tebedu, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
Jajaran projek itu melibatkan sembilan kampung, sekali gus memberi tumpuan kepada peningkatan akses perhubungan bagi masyarakat di sepanjang laluan berkenaan.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Semeru, Kampung Plaman Dunuk, Kampung Padus Stubot, Kampung Bisira Rayang dan Kampung Kuhom Mawang.
Turut terlibat ialah Kampung Uhom Mandeg, Kampung Rudan serta beberapa kampung lain di sepanjang jajaran projek tersebut.
Projek berkenaan juga dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara kampung serta memudahkan penduduk mendapatkan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan.
