Projek Sistem Rawatan Air perkukuhkan bekalan di Sebangan

SEBUYAU: Projek Sistem Rawatan Air Sebangan dengan kapasiti rawatan sehingga lima juta liter sehari memperkukuhkan keupayaan bekalan air di Sebangan dan kawasan sekitarnya.

Projek bernilai RM12 juta itu siap sepenuhnya 24 Julai lalu turut melibatkan pemasangan saluran paip baharu sepanjang kira-kira 11 kilometer (km) bagi menghubungkan sistem tangki dan paip agihan sedia ada dari Loji Acute hingga ke Tangki Aras Tinggi Sebangan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kemudahan berkenaan merupakan langkah penting dalam meningkatkan keupayaan sistem bekalan air bagi menampung permintaan penduduk yang semakin meningkat.

“Projek ini turut membantu menangani isu bekalan air yang dihadapi penduduk dan menyediakan bekalan lebih stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Sistem Rawatan Air Sebangan di Kampung Tungkah, di sini hari ini.

Projek mula dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak serta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak pada November 2025.

Dengan beroperasinya sistem berkenaan, kemudahan tersebut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuhkan infrastruktur asas serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan bekalan air kepada penduduk luar bandar.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB Sarawak, Ts Aaron Garino, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang dan Jurutera Air Bahagian Samarahan, Ts Adzahari Baini. – UKAS