Kaji semua asal-usul penduduk Sarawak

KUCHING: Asal-usul penduduk Sarawak perlu dikaji semula dengan mengambil kira bukti kewujudan manusia purba di negeri ini, termasuk penemuan rangka manusia di Gua Niah, Miri yang berusia lebih 50,000 tahun.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, teori migrasi tidak seharusnya mengetepikan kemungkinan wujudnya kesinambungan antara penduduk awal dengan masyarakat Sarawak hari ini.

Katanya, migrasi sememangnya berlaku, namun proses asimilasi manusia sepanjang ribuan tahun turut perlu diberi perhatian dalam penelitian sejarah penduduk negeri ini.

“Tujuan kita bukan untuk menafikan berlakunya migrasi, tetapi sudah pasti jelas bahawa asimilasi telah berlaku sepanjang ribuan tahun,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Negarawan bertajuk ‘Menulis Semula Sejarah Sarawak daripada Perspektif Kearifan Tempatan’ di sini, hari ini.

Tun Wan Junaidi berkata, persoalan sama ada manusia yang mendiami Sarawak puluhan ribu tahun lalu meneruskan keturunan sehingga membentuk sebahagian masyarakat hari ini perlu dikaji berdasarkan bukti arkeologi dan sejarah yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, penelitian juga perlu melihat teori migrasi dari pelbagai wilayah seperti Jawa, Sulawesi, China, Taiwan serta Australasia dan Pasifik bersama persoalan mengenai penduduk yang sudah mendiami Borneo sebelum gelombang penghijrahan berlaku.

Tegasnya, sejarah Sarawak perlu diteliti dengan lebih luas, termasuk hubungan dengan tamadun dan kerajaan lama di Asia Tenggara, supaya generasi muda dapat memahami asal-usul negeri berdasarkan sumber serta bukti yang kukuh.