Gerak jentera parti, DUN Bukit Saban diarah siap siaga hadapi PRN

SPAOH: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban diarahkan sentiasa bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).

Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata persiapan perlu dilakukan lebih awal tanpa menunggu pengumuman tarikh pilihan raya.

Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, setiap petugas perlu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing supaya gerak kerja dapat dilaksanakan dengan pantas apabila diperlukan.

“Saya mahu semua jentera dan petugas bersiap sedia dari sekarang. Jangan tunggu sehingga PRN diumumkan baru kita hendak bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Pengira Undi (PACA) serta Jentera Pilihan Raya DUN N.37 Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.

Seramai 158 jentera dan petugas menghadiri taklimat berkenaan yang memberi tumpuan kepada peranan PACA, penyelarasan gerak kerja serta persediaan menghadapi PRN13.

Uggah turut menekankan kepentingan disiplin, kesepaduan dan koordinasi dalam kalangan jentera di semua peringkat bagi memastikan tugasan dapat dilaksanakan secara teratur.

Katanya, petugas PACA khususnya perlu memahami dengan jelas prosedur serta tanggungjawab yang perlu dipatuhi sepanjang proses pilihan raya.

Taklimat tersebut turut memperkemaskan penyelarasan antara pimpinan parti, jentera kawasan dan petugas pilihan raya bagi memastikan gerak kerja DUN Bukit Saban berjalan lancar apabila diperlukan.