Sarawak lancar pelan hala tuju keselamatan siber 2030

KUCHING: Sarawak melancarkan Strategi dan Pelan Hala Tuju Keselamatan Siber Sarawak (SCSR) 2030, di sini, hari ini.

Dengan pelancaran itu, Sarawak mempunyai strategi keselamatan siber menyeluruh bagi menyediakan hala tuju dalam menangani keperluan keselamatan ekosistem digital yang semakin berkembang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkannya sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Ia dibangunkan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA), SCSR 2030 membawa visi ‘Asas yang Selamat dan Dipercayai untuk Ekonomi Digital Sarawak’ dengan memberi hala tuju strategik dalam memperkukuh keselamatan, daya tahan dan kepercayaan digital negeri.

Pelan lima tahun itu merangkumi 18 inisiatif strategik di bawah lima tonggak utama.

Antaranya melindungi aset maklumat strategik Sarawak, melindungi masyarakat, perniagaan dan komuniti, pembangunan bakat serta peningkatan kapasiti, memperkukuhkan tadbir urus dan kerangka operasi serta kerjasama strategik.

SCSR 2030 turut menghimpunkan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan negeri, pengendali infrastruktur kritikal, sektor perniagaan, akademia dan komuniti dalam satu pendekatan menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan siber Sarawak.

Terdahulu semasa berucap, Premier berkata Sarawak mahu menggabungkan kekuatan sumber asli dengan teknologi, pengetahuan dan kejuruteraan bagi mewujudkan nilai ekonomi yang lebih tinggi.

Katanya, sumber asli akan kekal sebagai antara kekuatan ekonomi Sarawak, namun peluang lebih besar terletak pada keupayaan menggabungkannya dengan teknologi dan kepakaran.

Menurutnya, Sarawak kini mempunyai beberapa kelebihan termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur digital yang berkembang, universiti, institusi penyelidikan serta asas perindustrian yang kukuh.

“Ini juga memberikan makna praktikal kepada idea ekonomi tanpa sempadan.

“Ia turut membolehkan Sarawak menyumbang produk, kepakaran dan inovasi sendiri kepada dunia,” katanya.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar SMA Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng serta Timbalan Pengurus Besar SMA, Ts. Dr Suhaila Jaffar. – UKAS