KUCHING: Integrasi SarawakPass dengan MyDigital ID menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan ekosistem digital yang lebih selamat, mudah diakses dan saling berhubung antara Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha bersama dalam membina persekitaran digital lebih selamat untuk rakyat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
Menurutnya, MyDigital ID kini mempunyai 14.1 juta pengguna menerusi 203 integrasi dengan pelbagai perkhidmatan digital, selain merekodkan sebanyak 82 juta log masuk sejak Ogos 2025.
“Melalui integrasi ini, SarawakPass membawa keyakinan terhadap asas identiti digital nasional lebih dekat kepada rakyat Sarawak, dengan mengambil kira keperluan negeri.
“MyDigital ID menzahirkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak atas pencapaian ini dan berharap kerjasama berkenaan dapat terus diperluaskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jelasnya, pencapaian itu diketengahkan menerusi program “Pameran Khas: Pencapaian Baharu Bersama SarawakPass” sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Pameran tersebut dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
SarawakPass yang dilancarkan pada IDECS 2025 berfungsi sebagai gerbang digital dipercayai Sarawak bagi menyediakan akses yang selamat dan lancar kepada pelbagai perkhidmatan digital, ujarnya.
Kerajaan Sarawak dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sebelum ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 28 November 2025.
Langkah tersebut bagi memperkukuhkan kerjasama Negeri – Persekutuan menerusi integrasi SarawakPass dan MyDigital ID.
Integrasi berkenaan berjaya dilaksanakan pada 2026, sekali gus menghubungkan ekosistem digital Sarawak dan Persekutuan serta memudahkan akses kepada perkhidmatan digital yang mengambil bahagian.
Tambahnya, melalui integrasi itu, pengguna SarawakPass boleh mengimbas kod QR MyDigital ID untuk mengakses perkhidmatan web Persekutuan, manakala pengguna MyDigital ID boleh mengimbas kod QR SarawakPass bagi mengakses perkhidmatan digital Sarawak.
Tegasnya, integrasi itu juga akan diperluaskan kepada aplikasi mudah alih terpilih yang menyokong MyDigital ID dalam beberapa bulan akan datang.
Dalam perkembangan sama, SarawakPass turut diperluaskan kepada perkhidmatan korporat menerusi integrasi log masuk tunggal (SSO) dengan SEB Cares, Sarawak Water dan AirBorneo.
Perluasan berkenaan dijangka memperkukuhkan lagi ekosistem SarawakPass selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Selain fungsi log masuk tunggal,
Kerajaan Sarawak menerusi SarawakPass menyasarkan penyampaian perkhidmatan yang lebih bersepadu, mudah diakses dan berorientasikan pengguna.
Pada masa sama, inisiatif itu bertujuan memudahkan urusan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital negeri. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
