Sarawak sedia kongsi pengalaman urus tanah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menzahirkan rasa kagum atas kejayaan Kerajaan Sarawak melaksanakan urusan pendaftaran hak milik dan transaksi tanah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan itu sebenarnya dilaksanakan di Sarawak sejak 2009 menerusi sistem eLASIS.

“Sarawak bersedia berkongsi kepakaran dan sistem yang dibangunkannya dalam urusan pentadbiran tanah dan pengurusan sumber dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan di peringkat nasional,” katanya kepada media selepas mesyuarat itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibangkitkannya ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-83 yang dipengerusikan Perdana Menteri di Bangunan Parlimen Malaysia hari ini.

Beliau menghadiri mesyuarat tersebut bagi mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sistem kita juga bukan hanya melibatkan pemilikan tanah tetapi merangkumi kira-kira 67 jenis transaksi termasuk kaveat, cagaran dan subpajakan,” katanya.

Mesyuarat turut membincangkan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan Malaysia sebagai kawasan berhutan.

Dalam hubungan itu, Awang Tengah berkata, Sarawak melalui amalan pengurusan hutan secara lestari dan dasar guna tanahnya terus memberi sumbangan besar kepada pencapaian sasaran tersebut.

Katanya, kira-kira 62 peratus kawasan Sarawak masih diliputi hutan, sekali gus menjadikan sumbangan Sarawak bersama Sabah amat signifikan dalam membantu Malaysia memenuhi komitmen mengekalkan litupan hutan.

Beliau mencadangkan supaya Sarawak dan Sabah diberikan insentif sewajarnya, termasuk menerusi mekanisme Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT), bagi menyokong usaha berterusan kedua-dua negeri memelihara kawasan hutan.