Sarawak lancar cip semikonduktor kuasa GaN rekaan tempatan pertama

KUCHING: Sarawak melakar satu lagi pencapaian dalam industri teknologi apabila melancarkan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka secara tempatan.

Cip berkenaan yang dibangunkan SMD Semiconductor Sdn Bhd telah dilancarkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menurut kenyataan media SMD.

Pelancaran adalah sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 Kesembilan, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Membawa mesej “Direka di Sarawak, Dibina untuk Dunia., keteq.GaN dibangunkan bagi memenuhi keperluan elektronik kuasa generasi baharu.

Ini termasuk infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri, grid pintar serta transformer keadaan pepejal pada masa depan.

Keteq.GaN dibangunkan bukan sekadar sebagai demonstrasi teknologi, sebaliknya untuk diaplikasikan dalam sistem dan produk sebenar yang memerlukan kecekapan serta pengurusan kuasa lebih baik.

Pelancaran keteq.GaN turut menandakan perkembangan pesat SMD Semiconductor sejak ditubuhkan pada 2022.

Selain itu, ia terus memperkukuhkan usaha Sarawak membangunkan ekosistem semikonduktor dan mewujudkan teknologi tempatan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI