Wanita Sarawak berani melangkah lebih jauh, buktikan kemampuan

KUCHING: Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan pembangunan bukan hanya memberi kesan positif kepada sosial malah ekonomi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mengikut laporan ASEAN dalam tahun 2025, kesaksamaan gender boleh menambah US$370 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Tenggara.

“Sarawak sudah mempunyai wanita yang menunjukkan kemampuan melangkah lebih jauh dan berjaya dalam kerjaya masing-masing,” katanya merasmikan Forum Asia SHE-TECH Keempat di sini, hari ini.

Beliau berkata, forum kali ini membincangkan pendekatan lebih mendalam untuk memastikan peluang dalam pembangunan teknologi dan ekonomi digital memberi impat lebih besar kepada wanita.

Fatimah percaya, melalui transformasi ekonomi akan turut mewujudkan lebih ramai wanita sebagai pemimpin pada masa akan datang.

Antara wanita yang berjaya tahun ini, katanya, Ketua Pegawai Digital Sarawak Energy, Sim Ko Sin, pengasas bersama dan Pengarah Kreatif Studio CtrlD, Suan Goh dan Ketua Akademi aeroangkasa, digital dan tenaga hijau CENTEXS, Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim.