BINTULU: Seramai 125 penghuni daripada 23 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas susulan kebakaran Rumah Padang Maleng, Batu 37, Jalan Bintulu-Miri menerima bantuan bencana berjumlah RM324,000.
Bantuan berkenaan diserahkan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam, dalam majlis penyerahan cek bantuan bencana hari ini.
Menurut beliau, bantuan tersebut memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap nasib rakyat yang ditimpa musibah.
Katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan mangsa bencana dan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan bagi meringankan beban mereka.
Dalam kejadian pada awal Ogos lalu, sebanyak 23 pintu Rumah Padang Maleng musnah dalam kebakaran yang berlaku di rumah panjang berkenaan.
Dr Mohammad Razi turut menegaskan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat terus diberi perhatian bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir ketika berdepan kesusahan.
Turut hadir ialah ADUN Samalaju, Dato Majang Renggi, dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Semawi Muhamad.
