Inisiatif SarawakPass menangi Anugerah Ekonomi Digital Premier.

KUCHING: Anugerah Ekonomi Digital 2026 (DEA2026) menjadi platform mengiktiraf pencapaian dan inovasi cemerlang dalam memperkukuhkan pembangunan ekonomi digital Sarawak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, anugerah anjuran Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) itu merangkumi tujuh kategori.

Kategori tersebut adalah kandungan kreatif digital, kerajaan digital, penyelesaian pintar, teknologi digital, inovasi kecerdasan buatan (AI), kelestarian alam sekitar serta penyelidikan dan kemajuan digital,ujarnya.

“Salah satu daripada tujuh pemenang akan dipilih menerima Anugerah Ekonomi Digital Premier.

“Ini sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap inisiatif berimpak tinggi dan berpotensi menyumbang kepada masa depan digital Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Makan Malam Gala Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Hotel Voco, di sini, malam ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan anugerah berkenaan.

Julaihi berkata, pencapaian finalis dan penerima anugerah membuktikan teknologi mampu meningkatkan kehidupan, memperkukuhkan industri serta membuka peluang baharu ke arah masa depan lebih inklusif dan mampan.

Sementara itu, Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Jabatan Premier Sarawak menerusi inisiatif SarawakPass: Memacu Perkhidmatan Kerajaan Proaktif Berteraskan Rakyat telah memenangi Anugerah Ekonomi Digital Premier.

Inisiatif berkenaan turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kerajaan Digital.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI