PRN: Wanita Parti PBB harap lebih ramai wanita dicalonkan

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berharap lebih ramai calon wanita berkaliber dan berpotensi menang diketengahkan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, Majlis Tertinggi (MT) Wanita parti berpandangan penyertaan wanita dalam bidang politik, khususnya sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, masih perlu dipertingkatkan.

“Pada setiap pilihan raya, sama ada negeri mahupun umum, kita mahu melihat lebih ramai wanita menjadi wakil rakyat.

“Bukan sahaja menjadi calon, malah paling penting ialah mampu memenangi kerusi seterusnya menjadi wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat MT Wanita Parti PBB di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, pemilihan calon perlu berasaskan merit, kewibawaan dan kemampuan untuk memenangi kerusi, bukan semata-mata kerana faktor gender.

“Calon yang dipilih bukan hanya disebabkan dia seorang wanita, tetapi atas kaliber dan meritnya sendiri.

“Yang ditekankan ialah calon yang boleh menang kerana apabila kita berjuang dalam pilihan raya, kita mesti mahu menang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Wanita Parti PBB kini mempergiatkan persiapan menghadapi pilihan raya negeri akan datang dengan memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat.

Antara persiapan yang dilaksanakan termasuk program di beberapa zon serta latihan berkaitan ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan undi (PACA).

Selain itu, katanya, usaha turut dipertingkatkan bagi menambah pengetahuan dan kemahiran ahli dalam menyampaikan naratif pembangunan Sarawak.

Menurut Fatimah, Wanita turut menegaskan komitmen untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Komitmen itu, katanya, adalah usaha membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh mandat lebih besar daripada rakyat pada pilihan raya akan datang.

Turut hadir Timbalan Ketua Wanita, Dato Angelina Ujang, Naib Ketua Wanita II, Umang Nangku Jabu, Setiausaha Wanita, Senator Susan Chemerai Anding dan Penolong Setiausaha I, Fridah Osman.

Bendahari Wanita Dr. Dayang Nurfizawati Dato Sri Abang Abdul Karim dan Penolong Bendahari Wanita Natasha Nasa Datuk Amar Douglas Uggah turut hadir.
— NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI