KUCHING: Kejohanan Bola Sepak Veteran Sembilan sebelah peringkat DUN N.5 Demak Laut 2026 mendapat sambutan apabila 16 pasukan bola sepak mengesahkan penyertaan masing-masing.
Kejohanan bola sepak berkenaan dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN N.5 Demak Laut dan dikelolakan oleh Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Peringkat DUN N.5 Demak Laut 2026.
Pertandingan saringan bagi memilih pasukan yang akan layak menyertai perlawanan suku akhir dan separuh akhir diadakan di padang sepak Kampung Bako Lot, pada Ahad lalu.
Manakala, perlawanan akhir juga diadakan padang bola sepak yang sama.
Lapan pasukan bakal turun berentap dalam pusingan suku akhir di Padang Bola Sepak Kampung Bako Lot, pada 11 Oktober ini.
Perlawanan suku akhir dan separuh akhir dijadualkan berlangsung pada sebelah pagi, manakala perlawanan akhir bagi memilih juara dan naib juara juga akan diadakan hari dan tempat yang sama.
Kesemua pasukan terbabit sebelum ini mempamerkan aksi bertenaga dalam pusingan awal yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Bako Lot dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Bola Sepak Veteran Sembilan Sebelah Peringkat DUN N.5 Demak Laut, Sebali Chik berkata sambutan penduduk, di kawasan DUN berkenaan menggalakkan.
“Alhamdulillah, corak permainan semua pemain yang mewakili pasukan masing-masing amat memuaskan.
“Walaupun kejohanan ini berlangsung dalam suasana santai dan penuh semangat kekeluargaan, pemain menunjukkan disiplin baik sepanjang perlawanan,” katanya.
Kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah turut menghidupkan kembali suasana bola sepak veteran di kawasan DUN N.5 Demak Laut.
Dengan kehadiran pemain berpengalaman serta bekas pemain yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan, kejohanan itu menjadi pentas menarik untuk peminat menyaksikan semula aksi serta kemahiran pemain veteran. – OTHMAN IBRAHIM
