KUCHING: Persidangan Padi Sarawak Ke-2, SARICON II 2026 menghimpunkan penyelidik, agensi kerajaan dan wakil industri bagi berkongsi pengetahuan serta meneroka penyelesaian praktikal untuk penanaman padi dan pengeluaran beras.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, persidangan bertemakan Masa Depan Beras Lestari: Inovasi, Kerjasama dan Daya Tahan, memberi tumpuan kepada inovasi, kerjasama dan daya tahan pengeluaran padi.
“Inovasi diperlukan untuk menangani cabaran seperti pengairan dan saliran yang tidak mencukupi, saiz ladang yang kecil dan berpecah, kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman
di sini, hari ini.
Persidangan itu dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, tahap sara diri beras Sarawak adalah kira-kira 21 peratus pada 2024, dengan sasaran meningkat kepada 60 peratus menjelang 2030.
“Kita perlu memastikan kemajuan yang dicapai diterjemahkan kepada produktiviti lebih tinggi, pengeluaran yang lebih terjamin dan pendapatan lebih baik untuk petani,” tambahnya.
Menurutnya, sebanyak 48 kawasan berpotensi meliputi kira-kira 14,000 hektar telah dikenal pasti untuk penanaman padi komersial berskala besar, manakala 2,635 hektar tanah Kerajaan Negeri telah diwartakan bagi penanaman padi.
Beliau berkata, 144 hektar tanah Kerajaan Negeri turut diperuntukkan untuk pengeluaran benih selain 12 syarikat menghasilkan kira-kira 2,500 tan metrik padi melalui penanaman bukti konsep antara Januari hingga Jun 2026. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
