KUCHING: Meningkatkan kapasiti pusat konvensyen dan hotel bertaraf antarabangsa akan menyokong Kuching sebagai hab strategik ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan kedudukannya di Pulau Borneo, fasiliti bertaraf antarabangsa itu akan turut menyokong pertumbuhan sektor acara perniagaan, persidangan serta pelancongan antarabangsa di sini.
“Diperkukuhkan jaringan hubungan udara, kemudahan persidangan, sektor hospitaliti serta infrastruktur moden membolehkan Kuching sebagai pusat ekonomi Sarawak dan pintu masuk strategik ke ASEAN, China dan Asia Timur,” katanya ketika menyempurnakan pembukaan Hotel The Everly Lhesson, di sini hari ini.
Beliau berkata, matlamat jangka panjang Sarawak, ialah Kuching menjadi hab ASEAN dan bukan lagi terhad kepada Malaysia, tetapi berkembang melangkaui Malaysia kerana kedudukan strategik di ASEAN.
Meningkatkan fasiliti bertaraf antarabangsa di sini, katanya, merupakan sebahagian daripada perancangan strategik Sarawak untuk merancakkan industri pelancongan dan sektor perkhidmatan, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Apabila ekonomi berkembang dan dipelbagaikan, ia tidak hanya bergantung kepada sektor pelancongan, tetapi turut merangkumi sektor pembuatan dan sektor-sektor lain,” tambahnya.
Beliau menjelaskan penggunaan identiti Borneo dalam penjenamaan kemudahan dan perkhidmatan seperti Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) serta AirBorneo mempunyai nilai strategik memandangkan nama Borneo lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng dan Pengarah Urusan Kumpulan The Everly Group, Dennis Tan.
