Sarawak mahu perkukuhkan keterhubungan rentas sempadan Borneo

KUCHING: Sarawak akan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan untuk menyokong Borneo sebagai pusat pertumbuhan ekonom yang signifikan dan penting bagi ASEAN, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan memanfaatkan lokasi strategiknya, sumber semula jadi, potensi tenaga boleh baharu, kepelbagaian biologi, modal insan dan keupayaan ekonomi yang berkembang, Borneo mampu menarik pelaburan, perdagangan serta rantaian nilai berasaskan rantau.

“Dengan bekerjasama secara lebih erat merentasi Sarawak, Sabah, Kalimantan, dan Brunei Darussalam, Borneo dapat menghubungkan infrastruktur, industri, pasaran sekali gus membina rantaian nilai rantau yang lebih kukuh,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Forum Ekonomi Borneo Kedua bertemakan ‘Membina Masa Depan Borneo’ di sini, hari ini.

Menurut Premier Sarawak, tiga bidang yang ditekankan dalam forum itu ialah keterhubungan tenaga, transformasi digital dan pembangunan industri berintegrasi yang menawarkan peluang ekonomi signifikan untuk Borneo.

“Bagi Sarawak, kami melihat ini sebagai bidang kekuatan, sumber dan keupayaan masing-masing dapat saling melengkapi serta mencipta nilai bagi Borneo,” tegas beliau.

Interkoneksi elektrik rentas sempadan, tambahnya, dapat memperkukuhkan keselamatan tenaga serantau. Selain itu, memudah cara integrasi tenaga boleh baharu yang lebih besar, serta menyokong pembangunan industri berintensifkan tenaga.

“Integrasi tenaga boleh baharu juga mampu mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan di Borneo,” katanya.

Beliau menambah, 10 tahun yang lalu, Sarawak menghantar elektron pertamanya melalui talian kuasa merentasi sempadan ke Kalimantan Barat dan hari ini tenaga yang sama sedang menerangi kediaman di Sabah, dan tidak lama lagi di Brunei.

Di luar Borneo, beliau berkata, Sarawak juga sedang mengusahakan cadangan kesalinghubungan dengan Singapura, dengan potensi untuk menyalurkan kira-kira 1GW elektrik boleh baharu melalui kabel penghantaran dasar laut.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perniagaan Indonesia dan Persatuan BIMP-EAGA Sarawak (BESA) kerana menghimpunkan komuniti perniagaan dan membantu menjayakan forum ini.

Hadir sama Menteri Perancangan Pembangunan Nasional dan Ketua Agensi Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia, Rachman Pambudy, Pengerusi Lembaga Ibu Negara Nusantara, Hadi Basuk Mujiono dan Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Brunei, Datin Seri Paduka Tutiaty Abdul Wahab.