KUCHING: Institusi kewangan disaran mempermudahkan serta mempercepatkan proses pembiayaan kepada kontraktor Bumiputera di Sarawak.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Dato Ismail Suut berkata, saranan tersebut bagi membantu kontraktor melaksanakan projek dengan lebih lancar.
“Modal merupakan antara keperluan paling penting bagi usahawan dan kontraktor.
“Ia bagi memastikan projek yang diperoleh dapat dimulakan serta disiapkan mengikut jadual,”katanya dalam ucapan pada Program Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Sarawak 2026 bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan PKMM Sarawak di Hotel Pullman di sini, hari ini.
Ismail yang juga Yang di – Pertua PKMM Sarawak berkata, penganjuran program tersebut menjadi platform kepada kontraktor mendapatkan maklumat mengenai kemudahan pembiayaan serta kaedah mendapatkan modal daripada institusi kewangan.
Beliau turut menggesa agar institusi kewangan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kontraktor yang memperoleh surat tawaran projek, selain mengurangkan kerenah dalam proses permohonan pembiayaan.
“Kelewatan mendapatkan modal serta pembayaran projek daripada agensi dikenal pasti antara faktor yang boleh menjejaskan pelaksanaan dan kemajuan sesuatu projek.
“Proses kelulusan pinjaman yang terlalu lama dan hanya diterima ketika projek sudah berada pada peringkat pertengahan atau hampir siap tidak lagi dapat membantu kontraktor secara berkesan,”ujarnya.
Dalam pada itu, tegasnya, kontraktor turut diingatkan supaya memastikan dokumen kewangan, akaun beraudit, penyata bank serta maklumat keupayaan syarikat sentiasa lengkap bagi memudahkan proses permohonan pembiayaan.
Sementara itu, jelasnya, program yang julung kali diadakan disertai kira-kira 90 peserta menghimpunkan kontraktor Bumiputera bersama TERAJU, PKMM Sarawak serta institusi kewangan dan penyedia pembiayaan.
Hadir sama Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Wilayah TERAJU, Khairil Ikhzan Abd Aziz. – NORAIDA ABDUL KASSIM
