Jalan baharu Sare dijadual siap 24 bulan, mula dibina 22 September 2026

SARIKEI: Pembinaan jalan baharu menghubungkan Sare dengan Jalan Sentebu/Bukit Kinyau bakal memperkukuhkan jaringan perhubungan Sarikei, selain memendekkan masa perjalanan penduduk.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata projek sepanjang 2.7 kilometer (km) itu bernilai kira-kira RM17 juta antara usaha kerajaan memperluaskan rangkaian infrastruktur bagi menyokong perkembangan luar bandar dan bandar Sarikei.

Projek itu katanya, dilaksanakan Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), termasuk RM1.4 juta bagi pembayaran pampasan kepada kira-kira 20 pemilik tanah.

“Ia dijangka mengurangkan tempoh perjalanan dari Sare ke Hospital Sarikei daripada kira-kira 30 minit kepada hanya 10 minit,” katanya pada Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Cek Pampasan Jalan Spur dari Sare ke Jalan Sentebu/Bukit Kinyau, di sini, hari ini.

Len Talif berkata, jalan itu turut menyediakan laluan alternatif ke bandar Sarikei tanpa perlu melalui beberapa laluan sedia ada termasuk Jalan Meruton/Merudu, Jalan Repok dan Jalan Baji, sekali gus membantu melancarkan pergerakan trafik.

Projek yang dimulakan pada 22 September itu dijadual siap dalam tempoh 24 bulan, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut merancang pembinaan jalan sepanjang kira-kira tujuh KM dari Kerubong ke SK Adin Sare menerusi peruntukan RADDA, dengan proses tender dijangka bermula dalam masa terdekat.