DARO: Karnival Sukan dan Kesenian Pendidikan Khas Zon Tengah 2026 memberi ruang kepada 110 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) menyerlahkan bakat, menggilap potensi dan membina keyakinan diri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, karnival berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform untuk meraikan keunikan serta kebolehan setiap MBPK.
“Karnival Pendidikan Khas hari ini bukan sahaja sebuah medan pertandingan, malah membantu mencungkil bakat, menggilap potensi serta membina keyakinan diri murid pendidikan khas.
“Di sinilah mereka diraikan dan diberi peluang untuk menyerlahkan keunikan serta keistimewaan masing-masing,” katanya pada majlis penangguhan Karnival Sukan dan Kesenian Pendidikan Khas Zon Tengah 2026 anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong, hari ini.
Dr Safiee berkata, pendidikan khas merupakan amanah bersama bagi memastikan MBPK mendapat peluang pembelajaran, kemahiran dan nilai murni supaya mampu berdikari serta menyumbang kepada masyarakat.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak komited memperkukuhkan pendidikan khas menerusi penambahbaikan prasarana, latihan dan pembangunan profesionalisme guru serta pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada MBPK.
Karnival itu melibatkan PPKI sekolah rendah dan menengah serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), dengan penyertaan dari PPD Daro, Mukah dan Sibu.
Lima acara dipertandingkan iaitu petanque, nyanyian, tarian ala Bollywood, kolaj dan dekorasi kek, dengan penyertaan antaranya dari SMK Mukah, SK Sungai Ud Mukah, SK Jalan Deshon Sibu, PPDK Al-Syafie Daro dan PPDK Pulau Bruit Daro.
